http://www.sinarharian.com.my/nasional/tindakan-tepat-55-000-nelayan-sertai-pelan-takaful-1.92637
KLANG - Tindakan 55,000 nelayan di seluruh negara menyertai Pelan Takaful Kemalangan Diri Nelayan dengan bayaran RM100 setahun adalah tepat kerana ia menjaga kebajikan golongan itu serta keluarga mereka, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata pelan itu, yang melibatkan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan pengendali skim perlindungan MAA Takaful Bhd, sebagai contoh, hari ini membayar pampasan kepada beberapa kes melibatkan nelayan di kawasan Parlimen Klang dan Kapar.
Dalam perkembangan berkaitan, Noh menyampaikan cek pampasan bernilai RM102,000 kepada Tjia Siu Khing, balu Chia Ching Kiang, seorang nelayan yang mati lemas di laut pada Mei lepas.
Seorang nelayan, Yusof Osman, juga menerima cek RM200 untuk elaun wad hospital manakala Ng Kian Tee menerima RM220 bagi belanja perubatan.
Noh berkata ketika skim itu diperkenal pada 1 Mei lepas, ramai yang agak curiga dengan kemampuannya membela nasib nelayan.
Sementara itu, beliau berkata kementerian meluluskan permohonan Melaka, Perlis, Pahang dan Perak untuk membangunkan perumahan nelayan di negeri masing-masing.
Katanya, bagi projek perumahan atau penempatan semula nelayan, kerajaan negeri akan menyediakan tapak dan setiap negeri diperuntukkan maksimum 300 unit kediaman melibatkan kos RM40,000 bagi setiap unit, selain tambahan RM1 juta untuk membina prasarana sokongan. - Bernama
1 ulasan:
Terbaik
Catat Ulasan