Isnin, 31 Mac 2014

Takaful bantu popularkan insurans

  • Insurans

  • Gambar hiasan
http://www.sinarharian.com.my/rencana/takaful-bantu-popularkan-insurans-1.265637

BEBERAPA tahun lalu, kadar dan jumlah pemegang polisi insurans dalam kalangan Bumiputera terutama Melayu adalah pada tahap paling rendah kerana kurangnya kesedaran tentang kepentingan insurans itu sendiri.

Namun perkembangan industri takaful, yang menawarkan insurans patuh syariah dilihat banyak memainkan peranan dalam membantu golongan Bumiputera terutama yang beragama
Islam mendapatkan pelbagai jenis insurans dan perlindungan diri.

Industri takaful sudah berkembang pada 1985 lagi, berikutan keperluan umat Islam pada ketika itu untuk mempunyai alternatif kepada insurans konvensional. Bagaimanapun hari ini, keistimewaan yang ditawarkan oleh insurans takaful telah membuka minat kaum lain yang bukan Islam untuk turut membeli polisi menerusi takaful.

Menurut data yang diperoleh, pasaran takaful keluarga yang berdaftar menyumbang RM2.7 bilion pada Januari hingga Disember 2011, peningkatan 4.18 peratus berbanding RM2.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Pasaran takaful keluarga kemudian melonjak 29.9 peratus kepada RM3.5 bilion bagi tempoh yang sama pada 2012.

Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Zainudin Ishak berkata, jumlah pemegang polisi takaful semakin meningkat sejak empat tahun lalu, yang mana industri takaful mencatatkan
peningkatan pertumbuhan tiga kali ganda dalam tempoh empat tahun iaitu dari 2010 hingga 2013.

"Dalam tempoh itu, pertumbuhan purata 20.24 peratus dicatatkan. Sembilan bulan pertama 2013 sahaja merekodkan RM2.772 bilion sumbangan kasar, meningkat sebanyak 4.9 peratus
berbanding tempoh yang sama pada 2012 iaitu RM2.642 bilion," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, kadar penembusan takaful dalam kalangan pengguna juga semakin meningkat sejak 2012 kepada 13.1 peratus.

"Bagaimanapun, jumlah itu masih rendah berbanding kadar penembusan dalam industri insurans keseluruhan sebanyak 55.7 peratus," akuinya.

Generasi baru celik kewangan Bagaimanapun Zainuddin berkata, menurut statistik, majoriti pemegang insurans takaful adalah Bumiputera beragama Islam, yang sekali gus secara
tidak langsung menyumbang kepada peningkatan industri takaful itu sendiri.

"Jika dibandingkan tahap kesedaran Bumiputera, mereka sekarang sudah celik kewangan. Kalau dulu ada duit lebih, mereka akan habiskan wang untuk keperluan lain seperti membeli telefon mahupun membaiki rumah. Sekarang, orang mula sedar kepentingan pelaburan, persaraan dan perlindungan," katanya.

Menurutnya, dengan permintaan yang semakin meningkat, jumlah syarikat pengendali insurans takaful yang mulanya hanya satu syarikat kini telah bertambah kepada 11 syarikat.

Katanya, pertambahan syarikat ini turut menyumbang kepada peningkatan kesedaran kerana strategi yang dilakukan oleh setiap syarikat untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai.

Tahun lalu sahaja, industri takaful berjaya menjual sebanyak 602,285 polisi, menunjukkan pertumbuhan ketara.

"Tidak semua Bumiputera tidak mempunyai minat untuk membeli insurans. Namun mungkin ada yang mempunyai perancangan kewanganyang lemah atau juga mungkin kerana mereka masih tidak sedar akan keperluan memiliki insurans mahupun perlindungan," katanya.

Menurut data yang diperoleh, pelan perlindungan kesihatan dan pelan perlindungan pendidikan menjadi antara pelan yang paling digemari majoriti pemilik polisi di negara ini.

Bagaimanapun, masyarakat kini juga mula berminat dengan produk yang berkaitan dengan pelaburan. Turut mencatatkan peningkatan adalah jumlah ejen insurans Bumiputera
sebanyak 30 peratus kepada 46,285 orang berbanding 35,441 pada 2012.

Difahamkan ramai yang tidak memiliki insurans kerana berpendapat mereka telah pun mendapat perlindungan insurans daripada syarikat masing-masing, namun kadang kala ia
tidak mencukupi.

Lebih banyak kempen kesedaran perlu dibuat bagi menekankan kepentingan mendapatkan perlindungan insurans terutama dalam kalangan Bumiputera sebagai sandaran keselamatan.

1 ulasan: