Ahad, 23 Februari 2014

Hibah – Pengertian Dan Kelebihannya (Bahagian 2)

Hibah merupakan penyerahan atau pemberian langsung oleh seseorang dengan tidak bersyarat dan juga tanpa balasan, tetapi mestilah harta atau benda yang hendak diberikan itu adalah harta yang halal dan hak milik sendiri,  hasil daripada titik peluhnya bekerja, dan juga tidak ada hak keluarga di dalamnya yang telah diambil.
Hibah amat digalakkan di dalam islam kerana ia merupakan amalan sunat yang harus dilakukan.  Terutamanya untuk kaum keluarga yang terdekat kerana ia dapat membantu orang lain yang berada di dalam kesusahan seperti anak-anak yatim, musafir dan golongan fakir miskin yang sangat-sangat memerlukan bantuan dan pertolongan.
Ini telah dijelaskan di dalam al-Quran dan al-Sunnah mengenai amalan hibah yang amat digalakkan menerusi Firman Allah SWT yang bermaksud :-
  • “Dan berikanlah mas kahwin (mahar) kepada perempuan (yang kamu nikahinya) sebagai pemberian dan penuh kerelaan. Kemudian, jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada (mas kahwin) itu dengan senang hati, maka terimalah dan nikmatilah pemberian itu dengan senang hati..” (Surah Al-Nisa’ : ayat 4.)
Manakala  di dalam surah Al-Baqarah melalui ayat 177 pula mahfumnya :-
  • “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan zakat dan orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji  dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertaqwa…” (Surah Al-Baqarah : ayat 177.)
Oleh yang demikian, di sini dapat kita lihat dengan jelas betapa pentingnya pemberian hibah itu dilakukan kerana, dengan pemberian seumpama itu, ia boleh menambahkan lagi keberkatan rezeki yang kita perolehi apabila ia dimanfaatkan sebaik mungkin ke jalan kebaikan dan diredhai oleh Allah SWT.
hibah
Tip
  • Pemberian hibah dapat mengeratkan tali silaturrahim di antara keluarga, rakan, taulan dan juga sesama  insan di samping kita dapat menggembirakan hati pihak lain khususnya mereka yang kita sayangi.
  • Dengan pemberian hibah juga kita dapat membantu masyarakat dan golongan-golongan yang amat memerlukan bantuan serta pertolongan.
  • Jadikan pemberian hibah itu sebagai  satu amalan yang murni dan baik apabila kita berkemampuan untuk  melakukannya.
  • Hibah dapat menggembirakan hati orang lain dan dengan ini mereka akan selalu mendoakan untuk kita kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan  di akhirat.
  • Hibah juga mendidik diri kita agar tidak bersikap tamak, bakhil dan kedekut. Ini dapat menghapuskan sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri kita dari terus bermaharajalela.

1 ulasan:

ST berkata...

Terbaik dan sangat bagus