Ahad, 10 November 2013

Mengira Jumlah Perlindungan Takaful Berdasarkan Al-Quran

Cara Membuat Kiraan Keperluan Perlindungan Takaful berdasarkan Al_quran 

Firdaus Aziz , Islamic Financial Planning
 “Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya…………”
(Surah Al-Baqarah ayat 240).
“……Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutangkamu………..”                   
(Surah An-Nisa ayat 12)
Seorang rakan sedang berkira-kira untuk menyertai takaful dan bertanya “Faizul, apakah implikasi sekiranya saya mengambil pelan takaful paling rendah carumannya sebulan?”
Saya menjawab “Bila kita menyertai takaful ia bukan melihat jumlah caruman sebulan tetapi berapakah jumlah perlindungan (sum cover) yang ideal bagi seseorang.”
Salah satu matlamat menyertai takaful kerana memberi kestabilan kewangan kepada yang tersayang dalam tempoh setahun dari ketiadaan kita.
Formula yang boleh dikeluarkan daripada dua terjemahan ayat  Al-Quran di atas ialah:-
JUMLAH PERLINDUNGAN TAKAFUL= (PERBELANJAAN SETAHUN X 8) + JUMLAH HUTANG
CONTOH APLIKASI FORMULA
“Berapakah perbelanjaan keluarga tuan sebulan?” tanya saya.
RM 4K”balasnya ringkas.
Dengan ketiadaan kita nanti, untuk isteri manampung perbelanjaan keluarga setahun, dia memerlukan RM 48K (RM 4K X 12 bulan) (rujuk terjemahan ayat al-Quran pertama di atas).
Mengikut Hukum Faraid isteri (yang mempunyai anak) akan mendapat satu per lapan (1/8) harta pusaka kita sahaja. (7/8) lagi adalah untuk ibu,bapa, anak-anak atau waris yang lain (rujuk terjemahan ayat al-Quran kedua di atas).
Bagi memastikan isteri mendapat sekurang-kurangnya RM48K bersamaan (1/8) harta kita, jumlah harta yang kita perlukan iaitu (8/8) adalah RM 384K (RM 48K x 8).
Kemudian tambahkan lagi dengan jumlah hutang yang tiada perlindungan takaful contohnya pembiayaan kenderaan, pembiayaan peribadi atau hutang kad kredit. Katakan RM 60K (rujuk terjemahan ayat al-Quran kedua di atas).
Maka jumlah perlidungan (sum cover) yang ideal untuk diambil oleh tuan ialah RM 444K (RM 384K  + RM 60K).”Jelas saya lagi.
Selepas membuat analisis ini barulah kita minta beberapa wakil takaful membuat kiraan berapakah caruman sebulan yang diperlukan untuk mendapat jumlah perlindungan (sum cover) sebanyak RM 444 000.

Isnin, 4 November 2013

Takaful, Insurans dan Yong-tau-foo – Bukan Sekadar Beza Pada Nama

Perbezaan utama antara takaful dengan insurans adalah pada kontraknya.
Kontrak insurans adalah berteraskan jual-beli, manakala kontrak takaful pula adalah berteraskan kontrak wakalah untuk menderma derma. Daripada kontrak jual-beli insurans inilah yang melahirkan unsur ketidaktentuan, judi dan riba, yang membawa kepada fatwa haram.
Alternatif kepada insurans adalah takaful, yang menggunakan kontrak derma untuk mengelakkan unsur ketidaktentuan, judi dan riba tadi.
Tulisan ini bukanlah untuk menghuraikan secara ilmiah dan akademik berkenaan hukum hakam insurans dan takaful, kerana saya bukanlah pakarnya.
Untuk mendapatkan maklumat secara ilmiah tentang perkara ini, boleh rujuk perkara ini di blog Ustaz Zaharuddin:

Takaful dan Insurans Sama?

“Takaful hanya tukar nama sahaja, yang lain-lain semua sama sahaja dengan insurans konvensional”, kata seorang ejen “takaful” konvensional.
Takaful Penyelamat
“Sistem Takaful bukan menjawab persoalan pengharaman insurans. Sistem takaful hanya meniru struktur dan format insurans konvensional from A to Z dan ubah istilah bahasa Arab & guna aqad derma. Itu saja.”, dipetik daripada sebuah laman forum kewangan.
“Bagi orang Melayu pada masa itu, insurans merupakan satu ‘benda baru’ untuk mereka dan mungkin keranapenguasaan bahasa Inggeris yang lemah, ini telah membuatkan mereka membuat pelbagai tanggapan salah mengenai Life Insurans dengan mengaitkan Life Insurans sebagai satu jual-beli nyawa atau jual-beli pampasan”, tulis seorang perunding kewangan yang mengaku dirinya ‘pakar insurans” di dalam artikelnya.
Jadi di manakah sebenarnya perbezaan insurans dan takaful?
Adakah benar bahawasanya insurans dan takaful sebenarnya menggunakan sistem yang sama?
Betul, insurans yang ada hari ini berasal daripada Barat. Insurans yang pertama dipercayai wujud adalah insurans perkapalan. Ia berasal daripada Eropah pada zaman pedagang-pedagang Inggeris belayar menggunakan kapal.
Kapal-kapal ini terdedah kepada pelbagai musibah seperti lanun, karam, ribut, tsunami dan lain-lain. Maka daripada situ, mereka berpakat dan timbullah istilah insurans dan dimodenkan sebagaimana yang kita lihat hari ini.
Sistem takaful yang ada sekarang mengguna sistem pengiraan yang sama dengan apa yang ada di dalam insurans yang telah dimodenkan tersebut.
“Jadi, betullah takaful ini berasal daripada insurans?”, ada pula yang berkata begitu.

Islam Juga Pengamal Takaful

Oh, tidak semestinya begitu kesimpulannya. Dari segi sejarah Islam juga, sistem yang sama telah diguna pakai pada zaman dahulu oleh pedagang-pedagang Arab. Jika di Eropah, para pedagang menggunakan kapal, pedagang Arab turut menggunakan kapal.
Bukan kapal laut, tetapi kapal padang pasir; unta.
Mereka juga terdedah kepada pelbagai musibah seperti perompak, ribut padang pasir, dan sebagainya. Maka daripada situ, mereka berpakat untuk berkongsi risiko, dan timbullah istilah “takaful”.
Takaful dalam bahasa arab bermaksud saling bantu-membantu, tolong-menolong.
Cuma takaful yang diamalkan oleh para pedagang Arab tidak melalui proses pemodenan sebagaimana proses pemodenan insurans oleh pedagang inggeris tadi.
Justeru, apabila takaful yang ada hari ini diwujudkan, ia menggunakan sistem yang telah lama wujud di dalam sistem insurans. Sistem takaful akan menilai dan hanya menerima perkara-perkara yang dibenarkan syarak sahaja.
Sebagai contoh sistem kontrak, sistem pengiraan risiko, sistem ejensi, sistem underwriting dan sebagainya.
Sebarang unsur yang tidak menepati kehendak syarak, akan dicari alternatif atau dibuang.
“Jadi, ini menunjukkan takaful menggunakan sistem yang sama. Maka tiada bezanya kita menggunakan insurans atau menggunakan takaful”, nampaknya masih tidak puas hati.

Yong-tau-fu – Babi Jadi Halal?

Mungkin penerangan sebelum ini masih ilmiah. Jika begitu, saya mengambil analogi yong-tau-fu.
Ya, yong-tau-fu.
Yong-tau-fu adalah makanan masyarakat Cina. Menu asal Yong-tau-fu adalah tauhu yang dicampurkan dengan kuah pasta ikan atau khinzir. Rujuk di sini:
(Nota: saya tidak pasti terjemahan untuk “meat paste of fish and pork” yang terdapat di dalam wikipedia, yang saya terjemahkan sebagai kuah pati ikan atau khinzir)
Hari ini menu ini sudah berubah dengan pelbagai bahan-bahan lain, seperti telur, sayur, sosej, dan sebagainya.
Sekiranya yong-tau-fu asal haram dimakan oleh orang Islam, kerana kandungan menunya adalah kuah pati khinzir, adakah ia masih haram sekiranya tiada lagi unsur tersebut?
Yong-tau-fu tidak boleh dimakan bukan kerana namanya yong-tau-fu. Sekiranya ia ditukar nama kepada “yong-tau-fu Halal”, atau “yong-tau-fu Islam”, atau “yong-tau-fu Ahmad”, ia masih lagi belum cukup syarat halal sekiranya ia masih menggunakan kuah pasta khinzir.

Fungsi Sama, Hukum Berbeza

Begitulah juga halnya dengan takaful dan insurans.
Fungsi insurans dan takaful adalah sama, iaitu untuk memberi perlindungan kewangan. Yang membezakan bukanlah premiumnya, bukanlah proses underwritingnya, atau juga bukanlah berapakah jumlah pampasannya.
Atau juga bukanlah komisennya.
Ada beberapa perkara yang sama, dan ada beberapa perkara yang tidak sama. Asasnya ia dibezakan dengan kontrak yang mewujudkan takaful ataupun insurans.
Yang ada unsur haram itu; riba, judi dan ketidaktentuan.
Takaful halal bukan kerana namanya takaful, dan insurans adalah haram bukan kerana namanya insurans.
Hubungi penulis untuk mendapatkan maklumat lanjut :)

Penama Takaful / Insurans: Jangan Letak Nama Anak!

Ketika saya mula-mula menceburi kerjaya sebagai perunding takaful, dalam satu kursus yang saya hadiri, saya menerima satu maklumat yang agak mengejutkan;
”Kira-kira 80% suami  akan meletakkan nama isteri mereka sebagai penama polisi takaful mereka, namun hanya kira-kira 30% isteri meletakkan nama suami mereka sebagai penama.” kata pegawai latihan tersebut kepada para peserta.
Ia disambut dengan hilai tawa para peserta porgram. Baik lelaki mahupun wanita. Ada yang tersenyum-senyum, terutama wanita. Bagi peserta lelaki pula, nampak senyuman sinis di bibir mereka.
Saya pun agak sedikit terkejut dengan pendedahan tersebut.
Selepas beberapa tahun dan sehingga kini hampir sepuluh tahun saya berada di dalam industri ini, apabila diimbas sekali polisi rakan-rakan pelanggan saya sebelum, memang tidak dapat dinafikan kaum wanita akan cenderung untuk tidak meletakkan nama suami mereka sebagai penama takaful mereka.
Ya, kaum wanita yang sudah berkahwin lebih cenderung untuk meletakkan nama anak mereka sebagai penama berbanding lelaki.
Malah, sebenarnya perkara ini bukan saya berlaku di dalam memilih penama polisi takaful, ia juga melibatkan penama di dalam perkara-perkara lain. Sebagai contoh, penama Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP), selalunya wanita meletakkan nama ibu bapa mereka.
Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, selalunya wanita akan meletakkan nama anak-anak mereka sebagai penama. Dalam kes KWSP pula, nama ibu selalunya diletakkan kerana selalunya mereka bekerja terlebih dahulu dan kemudian baru berkahwin. Selepas berkahwin, penama tersebut tidak diubah.

Isteri “Kurang” Percaya Kepada Suami?

Berdasarkan pengalaman saya berhadapan dengan pelanggan-pelanggan wanita, selalunya alasannya adalah kekhuatiran (baca: ketidakpercayaan) mereka terhadap suami mereka selepas mereka meninggal dunia nanti. Mereka khuatir suami mereka akan berkahwin lain menggunakan duit pampasan takaful mereka.
Kekhuatiran bertambah lagi apabila mereka membayangkan selepas itu suami dengan isteri barunya akan mengabaikan anak-anak kandung mereka. Juga membayangkan yang isteri baru suaminya akan bertindak tidak sewajarnya kepada anak-anak mereka.
Mereka membayangkan isteri baru suami mereka a.k.a ibu tiri anak-anak mereka laksana Rika Sumanto di dalam drama Bawang Merah Bawang Putih. Atau seperti watak Sofia di dalam Puteri Aurora Beradu suatu ketika dahulu.
Ya, satu kekhuatiran yang berasas.
Saya tidak nafikan, kekhuatiran kaum hawa tersebut ada asasnya. Demi kasih sayang ibu kepada anak, kadang-kadang mengatasi kasih sayang isteri kepada suami sendiri.
Apabila ditanya kepada isteri saya pun, begitulah juga perasaannya. Apabila ditanyakan kepada ibu saya pun begitulah halnya.

Penama Hanya Pemegang Amanah, Bukan Penerima

Namun, sebenarnya tindakan meletakkan nama anak sebagai penama tidak menyelesaikan masalah. Kerana, penama hanyalah bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah. Penama bukanlah pemegang hak tersebut.
Ia sebenarnya telah diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1978 lagi.
Fatwa tersebut berbunyi;
  1. Melantik penama (Nomination) oleh orang-orang Islam dalam mana-mana badan atau institusi di mana mereka menyimpan sebarang harta adalah tidak sah untuk diterima sebagai waris yang berhak menerima pusaka si mati cuma ia adalah sebagai yang melaksanakan wasiat untuk membahagikan harta pusaka tersebut kepada para waris mengikut hukum syarak.
  2. Bahawa orang-orang Islam tidak boleh melantik penama (Nominee) oleh kerana penama mengikut definisi undang-undang awam (sivil) adalah bertentangan dengan hukum syarak dan tidak sah.
  3. Oleh itu udang-undang awam (sivil) yang berkenaan hendaklah dipinda supaya sebarang penamaan (Nomination) oleh seseorang Islam menjadi tidak sah. Ini bermakna peruntukan mengenai Nomination atau perlantikan nominee tidak tertakluk kepada orang-orang yang beragama Islam sama ada sesuatu Nomination itu dibuat sebelum atau selepas fatwa ini dipersetujui oleh Raja-raja Melayu.
Secara umumnya, penama hanyalah bertindak sebagai pemegang amanah sahaja.
Penama hanyalah sebagai pemegang amanah bagi harta bagi si mati sama ada pampasan takaful/insurans, wang KWSP dan lain-lain. Penama tadi bertanggung jawab untuk mengagih-agihkan harta-harta tadi kepada pewaris si mati mengikut hukum faraid.
Apabila penama yang diletakkan adalah anak di bawah umur 18 tahun, ini akan menimbulkan masalah, kerana harta tersebut akan dibekukan sehinggalah anak tersebut mencapai usia 18 tahun.
takaful-jangan-letak-nama-anak-1
Pernah terjadi satu kes, apabila seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang balu dan beberapa orang anak. Beruntung balu berkenaan kerana suaminya mengambil polisi takaful. Namun apabila dibuat tuntutan, didapati penama yang diletakkan adalah nama anak-anak mereka.
Maka, wang pampasan tersebut terpaksa dibekukan sehingga penama mencapai usia 18 tahun. Lebih malang lagi, anak sulung mereka baru mencecah usia sekolah rendah. Maka, balu tadi terpaksa menunggu kira-kira sepuluh tahun selepas itu untuk membuat tuntutan sepenuhnya terhadap harta peninggalan si mati.
Justeru, berhati-hati sekiranya Tuan-tuan  dan Puan-puan ingin meletakkan nama anak sebagai penama. Pastikan mereka sudah cukup umurnya 18 tahun.
Sebaiknya, letaklah nama orang yang kita terima ijab dan qabulnya sebagai pemegang amanah harta kita sesudah kita tiada.
Nota: Sekiranya tuan-puan masih mampu membaca tulisan ini, bermakna tuan-puan masih berpeluang untuk menukar nama penama tuan-puan sebelum tuan-puan pergi terlebih dahulu.

HIJRAH Dari Insurans Konvensional ke Takaful ....Tetapi

Beliau mengangguk-angguk tanda setuju dengan penjelasan saya tentang perbezaan di antara insurans konvensional dengan takaful.
Tatkala saya menerangkan tentang perbezaan kontrak insurans konvensional yang menggunakan kontrak jual beli, dan kontrak takaful yang menggunakan kontrak derma, beliau bertanya beberapa soalan untuk penjelasan.
Dari bahasa badannya, nampak beliau begitu bersungguh-sungguh inginkan penjelasan tentang perkara tersebut. Ternyata soalan-soalan yang beliau kemukakan menunjukkan kematangannya berfikir, sesuai dengan statusnya sebagai seorang bisnesman.
“Ya Encik Afyan, saya pun pernah membaca tentang perkara ini”, kata beliau merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang hukum insurans konvensional.
Nampaknya sebelum menemui saya, beliau sudah pun membuat sedikit kajian dan pembacaan. Ia memudahkan kerja saya untuk menerangkan perkara tersebut. Tambahan lagi, kafeteria tempat kami bertemu tidak ramai pelanggan mengunjunginya memudahkan saya membuat penerangan dengan jelas.
“Ada sebarang persoalan yang Tuan ingin tanyakan lagi?”, saya bertanya kepada beliau selepas penjelasan terakhir tentang perkara ini.
“Setakat ini tiada”, kata beliau sambil menyandarkan badan ke kerusi.
“Jika begitu, kita boleh berpindah ke topik seterusnya iaitu keperluan kewangan Tuan sebelum saya cadangkan mana-mana produk takaful yang sesuai”, kata saya.
“Sebenarnya saya sudah memiliki beberapa polisi sebelum ini”, kata beliau.
“Alhamdulillah, suka saya mendengarnya kerana Tuan sudah mengambil keputusan yang bijak untuk masa hadapan Tuan”, balas saya, menyanjungi kesedarannya untuk memiliki plan perlindungan kewangan.
“Tetapi…”, beliau membiarkan ayatnya tergantung.

Ingin Berhijrah, Tetapi…

Saya diam seketika memberi peluang beliau menghabiskan kata-kata.
Saya cuba meneka. Mungkin dia tidak berpuas hati dengan polisi sedia ada, atau beliau hanya ingin berjumpa saya sekadar ingin mengetahui perbezaan antara takaful dengan insurans konvensional, kerana beliau mengetahui saya selepas membaca blog saya tentang isu ini.
“Sebenarnya, saya sudah melanggan dengan insurans konvensional”, kata beliau agak perlahan.
“Oh, begitu rupanya”, kata saya di dalam hati. Agak jauh dari tekaan saya sebelum ini.
“Saya sudah mengambil polisi insurans konvensioanal kira-kira sepuluh tahun lalu ketika baru berkahwin. Ketika itu saya tidak tahu insurans konvensional ini haram hukumnya. Dan saya pun baru tahu dalam setahun dua ini bahawa insurans konvensional ini haram”, jelas beliau panjang lebar.
“Alhamdulillah, selain daripada mempunyai kesedaran untuk memiliki perlindungan kewangan, Tuan juga mempunyai kesedaran tentang aspek halal haram. Tahniah saya ucapkan”, tambah saya lagi, menyanjung tinggi kesedaran beliau. Kali kedua saya ucapkan tahniah kepada beliau.
“Tetapi, kalau saya batalkan polisi insurans konvensional saya, saya akan rugi”, kata beliau lagi.
Saya diam sebentar.
Saya dapat meneka apa yang bermain di benak fikirannya; beliau bercadang untuk berpindah kepada takaful tapi beliau memikirkan kerugian yang beliau akan alami sekiranya membatalkan polisi insurans konvensional sedia ada.
“Tuan, menjadi tanggungjawab saya untuk mengajak Tuan berhijrah daripada insurans konvensional kepada takaful yang bebas daripada riba, sebagaimana yang saya kongsikan di awal tadi tentang bahaya riba. Jika Tuan sudah mengambil pelan perlindungan takaful dari syarikat lain, saya tidak akan menasihat Tuan untuk batalkan polisi-polisi Tuan”, jelas saya panjang lebar.
Kemudian, saya menyambung lagi, “Tetapi memandangkan Tuan mengambil pelan insurans konvensional, maka adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab saya untuk mengajak Tuan keluar daripada sistem kewangan riba dan berhijrah kepada sistem takaful”.

Untung Rugi Berpindah-pindah Polisi

Beliau mengangguk-angguk perlahan sambil berkata “Ya Encik Afyan, saya tahu bahawa insurans konvensional adalah riba dan riba itu haram hukumnya, tetapi saya akan rugi banyak jika saya membatalkan polisi yang sudah saya langgan lebih 10 tahun ini”.
Saya tersenyum, apa yang diperkatakannya benar. Membatalkan polisi lama yang sudah diambil bertahun-tahun semata-mata untuk mengambil polisi baru bukanlah satu tindakan bijak.
Malah, adalah satu perbuatan yang tidak beretika mana-mana ejen insurans atau takaful yang menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada dengan tujuan supaya pelanggan mengambil polisi baru dengannya.
Sebagai perunding kewangan dan takaful, menjadi prinsip saya untuk menasihati pelanggan untuk kekalkan polisi sedia ada kerana membatalkan polisi sedia ada yang lama, dan melanggan polisi baru akan melibatkan kos dan kerugian tertentu yang terpaksa ditanggung oleh pelanggan atas dua faktor, iaitu;
  • Umur; usia pelanggan semakin hari semakin meningkat, justeru kos untuk melanggan polisi baru hari ini secara logiknya akan lebih tinggi berbanding polisi yang sama tahun lalu atas faktor umur, dan
  • Kesihatan; kesihatan pelanggan hari ini tentu tidak sama ketika beliau melanggan polisi lama dahulu. Situasi akan lebih teruk untuk melanggan polisi baru jika beliau pernah membuat tuntutan.
Atas kedua-dua faktor ini, berpindah daripada polisi lama kepada polisi baru lebih banyak merugikan pelanggan. Tetapi yang paling untung dalam situasi ini adalah ejen.
Itu sebabnya, adalah sesuatu yang tidak beretika bagi mana-mana ejen atau wakil takaful menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada, kerana ia hanya menguntungkan ejen, bukan pelanggan.
Tidak dapat dinafikan terdapat segelintir ejen yang tidak beretika yang mengamalkan cara ini untuk memperbanyakkan bisnes mereka. Tetapi selalunya mereka tidak kekal lama dalam industri.
Namun yang menyedihkan, perbuatan mereka sedikit sebanyak merosakkan industri. Bak kata Karam Singh Waliya;
Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Atas dasar prinsip, ejen-ejen yang beretika tidak sekali-kali menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada hanya semata untuk bisnes. Pengalaman saya, selalunya saya akan mencadangkan untuk menambah jumlah perlindungan yang baru bersesuaian dengan keperluan kewangan semasa.
Contohnya polisi lama yang diambilnya dahulu adalah ketika bujang, mungkin bersesuaian ketika polisi tersebut dilanggan. Namun sekarang prospek sudah berkahwin dan beranak pinak sudah tentu keperluan perlindungan kewangannya bertambah berbanding dahulu.
Namun, dalam situasi ini, pelanggan yang ditemui sudah pun lama menjadi pelanggan insurans konvensional.
Jadi, juga atas dasar prinsip yang lebih utama iaitu prinsip Islam yang saya pegang, saya akan menasihati pelanggan untuk berhijrah daripada institusi riba kepada alternatif yang bebas riba dan patuh syariah.
Ya, atas dasar prinsip juga kerana insurans konvensional adalah instrumen riba, justeru itu adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menerangkan bahawa insurans yang dilanggan selama ini adalah riba dan alternatifnya adalah takaful.
Kemudian, keputusan terletak di tangan pelanggan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk dirinya, di dunia dan akhirat.
“Berapa caruman yang Tuan ambil dengan insurans sebelum ini?”, tanya saya.
“Saya mengambil tiga polisi untuk saya dan anak sulung saya, jumlahnya dalam RM500 sebulan. Saya ambil pada tahun 1999, ketika awal perkahwinan dan setahun kemudian selepas mendapat anak sulung”, jawab beliau sambil menghulurkan satu fail yang terisi polisi-polisi insurannya.
Saya mencongak-congak jumlah caruman yang sudah beliau bayar selama ini. Sebulan RM500 maka setahun RM6,000. Congakan awal saya, polisi-polisi tersebut sudah lebih 10 tahun maka sekurang-kurangnya sudah RM60,000 yang sudah dibayar selama ini.
Ia satu jumlah yang besar. Jadi tidak hairanlah beliau agak ralat untuk membatalkan polisi sedia ada dan berhijrah kepada takaful.
Sambil membelek polisi-polisi insurannya, beliau berkata kepada saya “Encik Afyan, saya sudah pun membuat kiraan sebelum saya bertemu dengan Encik. Jumlah caruman yang saya bayar untuk kesemua polisi adalah RM524.40 sebulan dan jumlah keseluruhan yang saya bayar berjumlah RM71,463.96. Dan saya sudah pun hubungi syarikat berkenaan, nilai tunai insurans saya adalah RM34,356.14. Rugi kalau saya batalkan sekarang”.
Perkataan “rugi” diulang lagi, kali ini dengan lebih ditekankan. Sambil itu beliau menunjukkan satu kertas yang bertulisan tangan tertulis jumlah-jumlah yang disebutkannya tadi.
Saya tersenyum, sambil mempelawa beliau minum minuman yang kami pesan di awal pertemuan tadi, “Minum dulu Tuan, nanti sejuk pula”.
Beliau turut tersenyum, sambil menyedut air minumannya.
Sambil minum, sempat beliau berkata “Jika saya batalkan, saya rugi 50% daripada jumlah caruman yang saya sudah bayar, kira-kira RM40,000. Memang rugi.”

Nampak semacam beliau cuba menguji saya. Suasana hening seketika.

Sanggup Untuk Teruskan?
Saya turut minum sambil saya bertanya kepadanya, “Tuan, bagaimana kalau saya katakan yang air yang kita minum ini sebenarnya tersalah pesan?”.
“Maksud En Afyan?”, tanya beliau, keliru tiba-tiba saya berubah topik.
“Maksud saya, andai kata tiba-tiba datang pelayan restoran ini kepada kita, dan memaklumkan air yang kita minum ini sebenarnya dipesan ini adalah air minuman beralkohol, tapi kita tidak perasan dalam menunya tadi”, kata saya.
“Isshhhh…. saya akan muntahkan balik apa yang saya minum dan minta air baru”, balasnya sambil ketawa kecil.
“Tuan tidak berasa rugi?”, tanya saya, menguji.
“Tidaklah. Apalah sangat rugi sedikit berbanding minuman haram masuk ke perut kita ini”, balasnya tegas, sambill mencebikkan bibir tanda jijik dengan air syaitan itu.
“Eh, mahal ni Tuan”, kata saya merujuk kepada harga air minuman kafeteria hotel ekslusif yang kami bertemu sekarang. Memang harganya sedikit mahal berbanding restoran-restoran biasa.
“Tidak kisahlah. Saya boleh bayar apa yang sudah dipesan dan kita pesan air minuman baru. Jangan risau Encik Afyan, hari ini saya belanja Encik Afyan”, balas beliau.
“Begitulah juga dengan insurans konvensional yang Tuan langgan selama ini”, balas saya, agak tajam.
Beliau terdiam. Nampak agak tersentak berdasarkan kerutan keningnya yang tajam memerhatikan saya.
“Apalah sangat rugi sedikit berbanding dosa riba dan hukuman riba di akhirat kelak”, saya menyambung lagi, kali ini menggunakan ayat-ayat yang beliau gunakan tadi dengan sedikit olahan.
Beliau masih terdiam. Nampak ingin berkata sesuatu tapi tidak terkeluar.
“Malah Tuan, balasan dosa riba lebih teruk berbanding dosa minum arak”, tegas saya merujuk kepada penerangan awal saya berkenaan dosa-dosa riba yang Allah mengisytihar perang terhadap pelaku riba.
“Begini Tuan, saya tidak nafikan bahawa dalam situasi Tuan sudah tentu Tuan memikirkan kerugian yang bakal Tuan tanggung sekiranya Tuan membatalkan polisi sedia ada dan melanggan polisi baru. Namun, memandangkan polisi yang Tuan langgan selama ini adalah polisi riba, dan Tuan sudah pun sedia maklum tentang hukum-hakam riba, maka sudah tibalah masanya untuk Tuan berhijrah. Insya-Allah, apabila Tuan berhijrah kelak, nescaya Allah akan bersama-sama Tuan dengan keputusan yang Tuan lakukan”.
Beliau masih diam. Berfikir barangkali. Keningnya masih berkerut seperti tadi.
“Sebagaimana air yang kita tersalah pesan tadi, kita tidak terasa rugi sekalipun membayar ekstra dua harga untuk satu gelas yang kita patut minum dan satu gelas yang kita tersalah pesan, dan hanya satu sahaja yang kita akan minum sebenarnya”, sambung saya lagi, kali ini menggunakan perkataan ‘kita’ sebagai kata ganti diri pertama.
“Tuan, saya ada satu cara untuk mengurangkan kerugian yang Tuan alami. Caranya adalah dengan memindahkan nilai tunai polisi lama Tuan ke polisi baru yang akan Tuan langgan nanti. Dengan cara ini, sekalipun polisi baru Tuan baru sahaja sebulan, tetapi nilai tunainya sama dengan polisi lama Tuan yang sudah lebih 10 tahun”, saya memberikan cadangan.
Nampak sedikit sinar di wajahnya, lantas berkata “Oh, begitukah?”

Mari Berhijrah! Hapuskan Riba

Beliau menyambung lagi “Sebenarnya saya sudah lama memikirkan alternatif terbaik untuk menggantikan polisi insurans saya ini selepas mengetahui tentang hukum haramnya kira-kira dua tahun lalu. Namun, selama ini saya buntu memikirkan kerugian yang bakal saya alami jika membatalkan insurans tersebut”.
“Alhamdulillah, hari ini saya sudah nampak jalannya”.
Beliau nampak begitu ceria sekali.
Seterusnya saya mencadangkan agar beliau tidak terus membatalkan polisi insurans konvensionalnya selagi mana polisi takafulnya berkuatkuasa sepenuhnya. Ini kerana setiap polisi baru akan mempunyai tempoh menunggu sebulan sehingga tiga bulan bagi memastikan perlindungan-perlindungan untuk kematian, lumpuh, serta sakit kritikal berkuatkuasa sepenuhnya.
Tempoh menunggu ini ada kaitan dengan tahap kesihatan peserta.
Jika polisi lamanya terus sahaja dibatalkan sebelum polisi baru berkuatkuasa sepenuhnya, risiko kepada pelanggan seandainya ditimpa musibah pada waktu itu. Jika ia berlaku, maka tiada perlindungan kewangan diberi dan saya adalah orang yang paling terkilan seandainya ia berlaku kepada pelanggan saya.
Justeru itu, saya mengesyorkan agar polisi lama dibatalkan hanya selepas polisi takaful yang baru dilanggan melepasi tempoh menunggu yang selalunya mengambil masa 90 hari atau 3 bulan. Sebaiknya selepas setahun untuk memastikan keadaan kesihatan peserta benar-benar sihat.
“Alhamdulillah, tahniah kerana Tuan berani mengambil keputusan untuk BERHIJRAH!”, kata saya. Kali ketiga saya ucapkan tahniah, dan yang paling bermakna kerana dalam masa sama saya bersyukur kerana menyelamatkan seorang lagi muslim daripada bahaya dan bahana riba.
Oh, bukan seorang, termasuk juga anaknya :)

Apa produk takaful yang patut saya ambil?”

“Tuan, apa produk takaful yang patut saya ambil?”
Ini adalah soalan yang paling kerap ditanya oleh bakal pelanggan.
Nampak mudah soalan ini, tetapi ia terlalu subjektif untuk dijawab kerana pendekatan saya memasarkan takaful bukan berdasarkan produk tetapi berdasarkan konsep dan keperluan.
Malah dalam penulisan saya di Majalah Niaga serta di blog kendalian saya iaitu Rahsia Takaful, amat jarang membicarakan tentang produk.

Lain Syarikat, Lain Produknya

Ada pelbagai produk takaful di pasaran;
  • Takaful Simpanan (Saving Takaful),
  • Takaful Pendidikan (Education Takaful),
  • Takaful Kesihatan (Medic Takaful),
  • Takaful Penyakit Kritikal (Critical Illness Takaful),
  • Takaful Khusus Untuk Wanita (Women Takaful),
  • Takaful Berkaitan Pelaburan (Investment-Link Takaful),
  • Takaful Warga Emas (Senior Citizens Takaful),
  • Takaful Kemalangan Peribadi (Personal Accident Takaful) dan sebagainya.
Ya, terlalu banyak produk takaful di pasaran sekarang. Pertambahan syarikat-syarikat takaful sejak kebelakangan ini merancakkan lagi industri takaful di Malaysia. Persaingan antara mereka memberi pilihan kepada para pelanggan untuk mendapatkan yang terbaik untuk diri dan keluarga mereka.
“Jadi, polisi yang mana satukah yang patut saya ambil?”
Secara umumnya, sebanyak mana produk yang ada di pasaran atau sebanyak mana produk yang anda ambil, hanya ada 4 sahaja kategori perlindungan takaful yang anda perlukan.
Ya, ada empat sahaja, iaitu;
  1. Perlindungan Kematian dan Lumpuh (Life – Death and Total Permanent Disability)
  2. Perlindungan Penyakit Kritikal (Critical Illness)
  3. Perlindungan Rawatan Hospital dan Pembedahan (Hospital and Surgical)
  4. Perlindungan Kemalangan Diri (Personal Accident)
Keempat-empat perlindungan ini saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Selepas seseorang menyertai keempat-empat pelan takaful ini barulah dia memikirkan untuk polisi-polisi lain, seperti pendidikan, persaraan, pelaburan, penyakit khusus wanita dan sebagainya.
“Bagaimanakah keempat-empat jenis perlindungan ini berfungsi?”
Keempat-empatnya kategori ini saling lengkap-melengkapi antara satu lain. Ia memberi perlindungan untuk 4 jenis musibah yang jarang-jarang berlaku di dalam hidup kita, tetapi memberi impak kewangan yang cukup besar sekiranya ia berlaku.
Insurans yg perlu ambil

Kategori #1 – Takaful Perlindungan Kematian & Lumpuh

Secara umumnya, bukan semua orang layak untuk mengambil perlindungan takaful. Seseorang yang layak mengambil polisi mestilah mempunyai dua syarat utama ini iaitu:
  • Hidup
  • Sihat,
Dan pengakhiran hidup ini adalah kematian. Jadi di sini perlindungan takaful untuk kematian berfungsi. Ia memberi pampasan tunai kepada keluarga si mati tadi untuk meneruskan komitmen kewangan keluarga tersebut.
Sebagai contoh, jika seseorang pemegang polisi tadi seorang suami dan juga ayah, maka wang pampasan perlindungan ini diperoleh oleh isteri dan anak-anaknya. Maka dengan wang pampasan ini, isteri dan anak-anaknya dapat meneruskan hidup seolah-olah pendapatan suami serta ayah mereka masih berjalan sekalipun beliau sudah tiada.
Apa pun, takaful tidak dapat menggantikan seratus peratus tempat suami atau ayah tersebut, namun ia meringankan beban keluarganya.

Kategori #2 – Takaful Perlindungan Penyakit Kritikal

Seperti kategori pertama, pampasan untuk penyakit kritikal juga dalam bentuk tunai kepada pemegang polisi. Ia memberi perlindungan sebaik sahaja pemegang polisi menghidap salah satu daripada 40 jenis penyakit yang dilindungi seperti strok, kanser, koma, sakit jantung dan sebagainya.
Perlu diingatkan di sini, ia memberi pampasan hanya selepas disahkan oleh doktor. Fungsi perlindungan ini juga sama seperti kategori pertama iaitu untuk menyara hidup pemegang polisi serta keluarganya selepas menghidap penyakit kritikal
Kerana selalunya setelah menghidap penyakit tersebut sudah tentu beliau tidak dapat bekerja seperti biasa. Maka sudah tentu beliau terpaksa berhenti kerja. Jadi di sinilah fungsi takaful ini untuk membantu menggantikan pendapatan pemegang polisi.

Kategori #3 – Takaful Perlindungan Kemalangan Diri

Takaful jenis ini adalah yang paling murah di pasaran. Malah kadang-kadang ia diberikan percuma apabila anda membeli rumah atau membuka akaun simpanan di bank atau menandatangani borang kad kredit.
Ia bukan perlindungan untuk kemalangan kereta. Takaful kereta hanya memberi pampasan kepada kereta sahaja, tetapi bukan kepada pemilik kereta. Maka dengan hanya mengambil polisi kemalangan peribadi, ia turut memberi perlindungan kepada pemilik kenderaan apabila berlaku kemalangan.
Ia meliputi perlindungan kecederaan, lumpuh sementara, putus anggota lumpuh kekal dan juga kematian akibat kemalangan. Sebagaimana kategori pertama, dan kedua, ia memberi pampasan dalam bentuk tunai.

Kategori #4 – Takaful Perlindungan Rawatan Hospital & Pembedahan

Ia juga dikenal sebagai medical card atau medic assist atau insurans kesihatan. Ramai yang tersalah anggap bahawasanya dengan memiliki perlindungan penyakit kritikal, mereka tidak perlu lagi kepada perlindungan rawatan hospital.
Sebenarnya, perlindungan penyakit kritikal memberi pampasan untuk sara hidup pemegang polisi, sebaliknya perlindungan rawatan hospital memberi pampasan dalam bentuk pembayaran bil di hospital.
Ia tidak memberi sebarang nilai tunai kepada pemegang polisi, sebagaimana perlindungan takaful kategori pertama, kedua dan ketiga.
Tidak seperti perlindungan penyakit kritikal, ia tidak semestinya seseorang perlu menghidap penyakit kritikal untuk mendapat pampasan perlindungan ini. Sebaik sahaja kemasukan ke hospital, ia terus memberi pampasan kepada pemegangnya dengan cara pembayaran bil.
“Tuan, saya memiliki medical card dengan RM1 juta. Bukankah ia sudah mencukupi tanpa mengambil polisi penyakit kritikal?”
Andaikan anda dimasukkan ke hospital dan segala bil rawatan hospital ditanggung oleh medical card tersebut. Disebabkan oleh penyakit ini, anda terpaksa berhenti kerja. Jadi, bagaimanakah dengan kehidupan anda dan keluarga anda selepas itu?
Adakah medical card dapat membantu anda membayar sewa rumah, ansurans kereta, makan minum, belanja dapur, belanja anak, bil telefon dan sebagainya?
Sudah tentu tidak. Bukankah sudah disebutkan tadi, ia saling melengkapi?
“Adakah saya perlu ambil semua keempat-empat jenis perlindungan di atas?”
“Sekiranya saya memiliki lebih daripada satu polisi, adakah saya boleh membuat tuntutan daripada semua polisi saya?”
“Berapakah kos yang paling murah untuk saya memiliki keempat-empat perlindungan di atas?”