Tragedi baju raya tiga beranak
KEMAMAN – Tiga beranak menemui ajal dalam keadaan mengerikan apabila mayat kesemua mereka ditemui dalam keadaan renyuk dengan kepala salah seorangnya pecah selepas kereta sewa jenis Perodua Viva yang dinaiki terlibat dalam kemalangan kelmarin.
Kejadian pukul 11 malam di Kilometer 127 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan resort Awana Kijal dekat sini itu mengakibatkan Aswari Ariffin, 36; isterinya, Nik Herna Hariany Mokhtar, 28, dan anak tunggal mereka, Muhammad Airell Zulfairy, 4, maut di tempat kejadian.
Seorang lagi penumpang kereta itu, Nik Nor Syafiqah, 10, parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Dia merupakan adik Nik Herna Hariany.
Sebelum kejadian, empat sekeluarga tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasik selepas membeli baju raya di Kuantan, Pahang.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Aswari itu terbabas lalu melanggar penghadang jalan dan tiang elektrik. Kenderaan tersebut kemudian telah memasuki laluan bertentangan dan berpusing beberapa kali sebelum dirempuh sebuah lagi kereta jenis Suzuki Swift.
Pemandu Swift yang dalam perjalanan dari arah Dungun ke Kemaman itu, Ahmad Tajudin Mohd. Arifin, 34, parah dan dirawat di Hospital Kemaman.
1 ulasan:
Membuka minda ..
Catat Ulasan